Susur Malim

Susur Malim
Susuri

Selasa, 15 Mac 2011

9: KESANTUNAN BAHASA.

Tarikh   : 07.02.2011
Tempat : DKA
Situasi   :
Hari ini  seperti biasa kelas Keterampilan Menulis bersama Dr. A.Halim Ali. Hari ini Dr. mengajar bagaimana untuk membina ayat atau bait-bait kata yang puitis bermula dengan ayat dalam struktur kata yang biasa kepada struktur kata-kata yang indah dan sedap didengar.  Salah satu aktiviti pengajarannya adalah melengkapkan pantun yang diberikan.  Bagi yang biasa membina pantun dan berpuisi pastinya tiada masalah untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.  Namun bagi yang jarang menggunakan bahasa-bahasa indah dan kesantunan bahasa dalam pertuturan pasti akan mengalami kesukaran.  Sebagaimana pantun contohnya, semua orang boleh mencipta pantun, namun bagi menghasilkan pantun yang baik perlulah mengambil kira soal pemilihan diksi yang menarik, rima, suku kata dan perkaitan sampiran dengan maksud.


                               Belatuk berlagu di atas papan,
                                       Menari kekunang di sana sini;
                               Menuntut ilmu satu kewajipan,
                                       Menyuluh terang susur insani.


Ulasan  :
Seandainya dihayati bait-bait kata yang membentuk serangkap pantun di atas, ia menepati ciri-ciri pantun yang baik.  Namun, di sini bukanlah mahu ditekankan soal membina pantun, tetapi apa yang mahu diketengahkan adalah bagaimana bait-bait kata itu dipilih dengan tujuan mengindah dan memuitiskan lagi pantun berkenaan.  Kesantunan berbahasa ini bukanlah terletak pada puisi atau pantun sahaja, malah ia perlu di amalkan dalam kehidupan dan pertuturan seharian kerana dari kata-kata yang terpancul dari mulut itulah yang akan melambangkan peribadi penuturnya secara tidak langsung.  Selain itu, apabila kita menggunakan kesantunan bahasa atau bahasa yang indah, tidak mempunyai masalah untuk membuat teguran atau sindiran kerana bahasa yang digunakan itu lembut dan khalayak boleh menerimanya dengan hati yang terbuka. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan